Tuesday, September 16, 2008

Kahwin Kontrak 4

Salam alaik Mann,

Terima kasih atas doa anda, moga mann sekeluarga juga beroleh kesejahteraan dan barakah dari Allah SWT.

Pada saya, sebaik-baiknya kita perbetulkan dahulu istilah-istilah yang kita selalu guna. Orang yang bertanya, kita anggap dia tidak tahu, sebab itu dia bertanya (tidak bermaksud saya lebih tahu). Selalunya saya akan cuba untuk mendefinisikan sesuatu istilah atau menyelidiki sesuatu persoalan dahulu sebelum mengeluarkan pendapat. Memang saya tidak arif dalam bahasa Arab dan saya juga bukan pakar dalam perkara hukum. Tetapi tidak salah rasanya saya beri pendapat jika berlandaskan fakta (kecuali kalau fakta saya salah).

Kenapa perlu kita ulangi kesilapan mengguna ungkapan "kahwin kontrak" jika perkahwinan itu sendiri adalah kontrak/ikatan/perjanjian. Macam orang kita selalu cakap ungkapan "kasut boot", "pintu gate" dan sebagainya. Agaknya kalau kita samakan nikah/kahwin sebagai kontrak seolah-olah ianya tidak islamik. Mohon diperbetulkan jika saya silap.

Pertanyaan mula-mula adalah mengenai persoalan, seseorang itu berkahwin hanya untuk mendapatkan anak/zuriat, lepas dapat anak cerai. Itu bukan kontrak perkahwinan. Itu syarat-syarat dalam perkahwinannya.

Kita semua tahu, talak adalah ditangan suami. Pada pendapat saya, jika syarat-syaat tersebut dilafazkan selepas akad nikah, sama ada bertulis atau tidak, dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak, maka talak gugur sebaik sahaja siisteri melahirkan anak (talak taklik). Tetapi bukan bererti mereka tidak boleh rujuk (bergantung kepada berapa talak yang diberi).

Jika penanya menggunakan ungkapan "kahwin kontrak" itu dengan maksud kahwin mut'ah atau mis yar, maka saya rasa saudara-saudara lebih arif.

Selalukan yang betul, dan betulkan yang selalu.

Hadanallah waiyakum ajmain, wallahu'alam, wassalamu'alaikum wr wb.

Sunday, September 14, 2008

Patutkah isu politik dibincangkan di SIM ?

Assalamu'alaikum wr wb Warga SIM sekelian,

POLITIK: "Proses yang melambangkan gelagat manusia yang mengandungi konflik di antara kebaikan disebelah pihak dan kehendak-kehendak kumpulan di pihak yang lain, yang diperlukan atau diselesaikan dan kerap kali membabitkan penggunaan dan perebutan kuasa."

Menjadi ahli dalam sesebuah parti politik tidak menjadikan kita ahli politik. Tidak juga menjadikan kita penyokong parti politik tersebut. Ada kalanya kita menjadi ahli dalam parti politik hanya kerana untuk mendapatkan pengaruh, bukan kerana wadah perjuangan yang dibawa oleh parti tersebut. Apa yang penting apabila kita berpolitik, perlulah kita mnggunakan kebijaksanaan seperti yang dituntut. Siasah memerlukan seseorang menggunakan kebijaksanaan ke tahap yang tertinggi.

Secara peribadi, saya tidak membantah malah menyokong isu-isu politik dibincangkan di SIM. Dalam SIM, warganya terdiri dari individu-individu yang mempunyai ideologi politik yang berbeza. Namun demikian, politik kepartian tidak seharusnya dibawa ke komuniti ini kerana SIM mementingkan PERSAHABATAN. Ikatan persahabatan adalah sesuatu yang begitu murni, yang tidak seharusnya diputuskan hanya kerana kita berbeza pendapat dalam menyokong wadah perjuangan yang parti yang berbeza.

Justeru, kita teruskanlah bersatu walaupun mempunyai perbezaan pendapat. Itu membuatkan kita menjadi lebih matang, dan bakal menghasilkan kepimpinan masa hadapan yang lebih baik.

Hadanallah waiyakum ajma'in, wallahu'alam. Wassalamu'alaikum wr wb.

Kahwin Kontrak 3

Assalamu'alaikum wr wb.

Masih nak bermain dengan istilah lagi kah?

Yang menjadikan sesuatu pernikahan atau perkahwinan itu sesuatu yang bersifat sementara adalah syarat-syarat yang ditetapkan. Bukan Rukun nikahnya.

Yang menjadikan sesuatu sesuatu perkahwinan itu sebagai kontrak adalah akad (ijab dan kabul) tetapi yang boleh menyebabkan gugur talak adalah bila sisuami menjatuhkan talak. Contoh;
Jika berlaku dalam syarat-syarat perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan (2 rukun nikah) sisuami melafazkan "sekiranya engkau melahirkan seorang anak lelaki atau perempuan untuk ku maka gugurlah talak 1." Lafaz ini pula mempunyai saksi, maka pada ketika siisteri melahirkan seorang anak akan gugurlah talak."

Ini merupakan syarat yang dalam kontrak perkahwinan/pernikahan tersebut. Tapi saya rasa orang yang tidak berfikir panjang sahaja yang mengenakan syarat seperti ini. Walaupun demikian kalau tidak salah saya perkara ini pernah dijadikan drama TV.

Syarat-syarat seperti tersebut tidak menepati erti pernikahan/perkahwinan yang dituntut oleh Islam.

Sama lah dengan taklik. Jika lelaki melanggar lafaz taklik, dan sabit kesalahan oleh mahkamah maka gugurlah talak. Sabit kesalahan itu adalah berdasarkan apa yang telah dipersetujui dalam taklik. Lafaz taklik oleh suami selepas ijab kabul pula adalah untuk menjaga kepentingan isteri agar tidak menjadi mangsa penganiayaan suami.

Wallahu'alam.

Kahwin Kontrak 2

Assalamu'alaikum wr wb Warga SIM sekelian,

Istilah kontrak berasal dari istilah inggeris; contract. Kebiasaannya contract wujud dalam urusniaga apabila temaktubnya sesuatu jual beli atau perjanjian. Perjanjian adalah istilah yang terbaik bagi kita berikan pengertian kepada istilah kontrak.

Dalam muamalat kita ada akad jual beli, menandakan kita bersetuju dalam sesuatu urusan berkenaan. Dalam pernikahan kita ada akad nikah. Bermakna kita bersetuju dalam urusan perkahwinan tersebut. Oleh yang demikian, seperti yang saya nyatakan , pernikahan adalah suatu kontrak. Dan pernikahan yang cukup 5 syarat rukun adalah sah.

Apa yang saya rasa menjadi kemusykilan adalah prasyarat yang diletakkan seperti lafaz taklik yang terdapat dalam masyarakat jawi dan juga seperti kahwin mut'ah yang menjadi praktik suatu ketika dahulu.

Saya mengatakan boleh kerana itu yang berlaku di Malaysia. Jika lafaz taklik memungkin sesuatu pernikahan itu terbatal, maka jutaan pernikahan adalah terbatal (termasuk saya).
Prasyarat yang diutarakan dalam persoalan tadi; "cthnya saya tetapkan syarat, berkahwin utk dapatkan anak sahaja, lepas dpt anak, bercerai. ", bolehkan ia diklasifikasikan sebagai lafaz taklik? Umumnya kita tahu bahawa talak itu letak ditangan suami. Jadi sama ada perceraian berlaku atau tidak biarlah mahkamah syariah (mereka yang arif) yang menetukannya.
Satu lagi perkara; boleh confirm kah sesuatu pernikahan itu mendatangkan zuriat (anak)? Maknanya, selagi tak dapat anak, maka pasangan itu tidak boleh bercerailah.

Mengenai nikah mut’ah, Dr Yusuf Qardhawi ada mengeluarkan pendapat beliau di dalam buku Halal dan Haram dalam Islam http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/3028.html#3.2.9

Tolong betulkan saya. Bila hendak menghukumkan sama ada sesuatu itu halal atau haram harap dapatlah berikan nas-nasnya. Bukan hanya kerana ianya berfahaman syiah atau sunni sedangkan sunni juga ada 4 mazhab yang muktabar.

Hadanallah waiyakum ajmain, wallahu’alam. Wassalamu’alaikum wr wb

Saturday, September 13, 2008

Kahwin kontrak

Pernikahan itu adalah satu kontrak. Buktinya terdapat akad iaitu ijab dan kabul. Jadi ianya bukan perkara baru. Lafaz taklik adalah syarat-syarat dalam kontrak pernikahan. Nikah mut'ah juga adalah nikah kontrak. Ada sesetengah negeri tidak membolehkan lafaz taklik. Sesetengah negeri pula dimestikan lafaz taklik. (Jangan dikelirukan "mesti" dengan rukun dan wajib nikah)

Pada pandangan saya, syarat yang wujud dalam nikah itu sesuatu yang dibolehkan jika mengambil kira keharusan laaz taklik.

Wallahu'alam, wassalam

Thursday, September 11, 2008

Pokok Gharqad / Boxthorn

Pokok Gharqad / Boxthorn

Hadith sahih riwayat Al-Bukhari dan Muslim:

"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah orang-umat Islam berperang dengan orang-orang Yahudi (di sebuah tempat). Orang-umat Islam akan membunuh mereka beramai-ramai sehinggakan apabila mereka bersembunyi di sebalik batu dan pokok, tiba-tiba pokok-pokok dan batu-batu itu bersuara menjerit memanggil umat Islam agar membunuh orang-orang Yahudi itu, kecuali pokok 'Gharqad', kerana ia adalah pokok Yahudi".

Halaman Jewish National Fund.( ) memberi maklumat, ada satu dana kebangsaan yahudi yang khas untuk penanaman pokok tersebut!!!


http://en.wikipedia.org/wiki/Boxthorn

Kalau jumpa pokok-pokok tersebut, kita cantaslah. Sedikit sumbangan dari kita mewujudkan kemenangan Islam di bumi Allah ini. InsyaAllah.

Wednesday, September 10, 2008

Aidilfitri Hari Kemenangan, bukan hari berkabung

Allahu Akbar 3X
La ilaha ilaahu Allahu Akbar
Allahu Akbar walillahilhamdu

Mungkin agak terlalu awal untuk kita laungkan takbir tersebut. Namun sekadar peringatan. Selesai menunaikan sebulan ibadah puasa, apa yang kita harapkan adalah beroleh ketaqwaan dan kita kembali kepada fitrah.

Berolehnya taqwa adalah bila kita sendiri dapat mebezakan amalan dan peradaban kita adalah akan lebih baik dari sebelum ramadhan, insyaAllah. Jika tiada, maka perlulah kita berazam untuki memperbaiki kekurangan yang tidak kita lakukan dalam ibadat puasa tahun ini. Kita mohon supaya dapat kita bertemu lagi dengan ramadhan yang akan datang supaya dapat kita pertingkatkan lagi amalan kita.

Kembali kepada fitrah bermakna, keadaan kita adalah hampir sama dengan kain putih. Maka janganlah kita raikan kemenangan dengan aktiviti-aktiviti lagha dan maksiat. Jangan kita kotori kain yang kita usaha untuk membersihkannya selama sebulan dalam masa satu hari.

Tidak salah mengingati orang-orang yang telah pergi dahulu dari kita. Lambat laun kita akan menyusul. Yang penting adalah kita menghadiahkan pahala amalan kita (jika ada) kepada mereka. Sempurnakan dan qadalah apa-apa amalan mereka yang masih terhutang. InsyaAllah, doa anak-anak yang soleh (dan solehah) akan dimakbulkan.

Mari kita sesama ingat mengingati antara satu sama lain. Yang demikian itu adalah sifat orang-orang beruntung.

Wallahu'alam,

Tuesday, September 9, 2008

Batalkan puasa untuk bersetubuh 2

Salam 'alaik,

Apabila terjadi persetubuhan pada siang hari dalam bulan ramadhan, maka wajib ke atas suami, bagi setiap hari yang berlakunya persetubuhan tersebut, membayar kifarah iaitu:-
  1. memerdekakan seorang hamba (boleh jumpa ke hamba sahaya sekarang ini),
  2. berpuasa selama 60 hari berturut-turut (tanpa boleh meninggalkan walau 1 hari. Jika ditinggalkan atau tertinggal, maka wajib diulangi dari hari pertama),
  3. memberi makan kepada seramai 60 orang miskin (cara bagi makan ini perlu diperhalusi dan ditanyakan kepada mereka yang mengetahui) .
Sekiranya dibatalkan dahulu puasa tersebut, para ulama berselisih pendapat. Ada yang mengatakan kifarahnya adalah kekal, ada pula yang berpendapat tidak perlu bayar kifarah, cuma diqadakan sahaja.

Perlu diingat bahawa, seseorang yang tidak berpuasa atau membatalkan puasanya tanpa uzur syari'e, maka dosanya amatlah besar. Walaupun puasa itu diqadakan (kerana ianya wajib) namun ia masih tidak boleh menggantikan puasa yang ditinggalkan tersebut.

Seseorang itu menjalani ibadat puasa adalah antara lain untuk melawan dan membendung hawa nafsu (tiada hasutan syaitan dalam bulan ramadhan). Hawa nafsu itu termasuklah nafsu makan, syahwat dan sebagainya. Oleh yang demikian, hayatilah ibadat puasa yang kita jalani ini dengan penuh taqwa (itu yang akan diperolehi diakhir ramadhan kelak, insyaAllah).

Nabi SAW pernah menyuruh pemuda-pemuda yang tidak berkemampuan untuk berkahwin supaya berpuasa untuk menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang maksiat.

Wallahu'alam, hadanallah waiyakum ajma'in.

Wassalamu'alaikum wr wb

Bersetubuh Di Bulan Puasa

Salam Warga Sim,

Pengertian puasa adalah; "Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahar, disertai dengan niat".

Ada orang bersahur jam 1.00 pagi dan ada pula yang bersahur jam 5.00 pagi. (Yang terbaik adalah dilewatkan bersahur.) Di antara waktu selepas bersahur sehingga terbit fajar sadiq (fajar yang ke 2) yang menandakan masuknya waktu subuh, buatlah apa yang anda suka sebagai suami isteri. Sebaik-baiknya apabila tiba waktu imsak, maka anda habiskan apa yang anda sedang lakukan, sama ada makan minum dan sebagainya. (waktu imsak adalah seperti lampu kuning di lampu isyarat jalan raya) dan berhenti tepat sebelum masuknya waktu subuh.

Jika anda memilih untuk mandi setelah masuk waktu subuh, itu tidak menjejaskan puasa anda. Waktu subuh adalah antara terbit fajar sadiq dan syuruk, ia itu timbulnya cahaya bagi terbitnya matahari. Justeru, anda boleh lah menunaikan tanggung jawab mandi junub dan solat fardhu subuh dalam jangka waktu tersebut.

Jika anda terlajak tanpa sengaja, maka bersegeralah mandi junub apabila tersedar dari tidur dan qada subuh serta merta. Puasa anda tetap sah.

Kalau anda sengaja tidak mandi junub dan tidak menunaikan solat subuh, maka puasa anda sah sebab anda telah niat untuk berpuasa, namun anda hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja kerana melanggar rukun yang kedua, i.e Solat. Maka bertaubatlah..

Wallahu'alam, hadanallah waiyakum ajma'in.

Wassalamu'alaikum wr wb.

Sunday, September 7, 2008

Re: [sim] MOHON PENCERAHAN : Solat dan tutup aurat

Apabila memperkatakan tentang hukum, maka perlu diingat bahawa ianya melibatkan nas-nas yang sahih dan juga diberikan oleh orang-orang yang betul-betul arif tentang syariat Islam.

Mengenai persolan yang dibangkitkan, solat dan membuka aurat mempunyai kaitan. Tidak kira sama ada lelaki atau wanita. Cuma yang sering diperkatakan adalah mengenai wanita kerana auratnya adalah lebih kompleks.

Solat itu rukun Islam yang kedua. Hukumnya fardhu `ain ke atas semua orang-orang Islam yang mukhalaf. Solat adalah ibadat yang dimulakan dengan Takbiratulihram dan diakhiri dengan Salam, disertai dengan niat dan thomaninah dan disempurnakan dengan tertib.

Solat tapi tidak tutup aurat – solat tidak sah. Menutup aurat merupakan salah satu dari syarat-syarat sah. Justeru tidak ada kompromi dalam soal menutup aurat dalam solat.

Manakala orang yang tutup aurat tetapi tidak solat itu banyak boleh dibincangkan.

Al-`Araaf [26] Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah
kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

An-Nuur [31] Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;

Al-Ahzab [59] Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah)
Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Mafhum firman Allah di atas adalah antara ayat-ayat yang mewajibkan menutup aurat. Perlu diingat bahawa, busana muslimah bukan sekadar bertudung, kerana yang wajib adalah melabuhkan pakaian sehingga menutup seluruh tubuhnya. Firman Allah mengenai menutup aurat amat jelas sehinggakan belahan leher baju juga turut disentuh. Oleh yang demikian, menutup aurat ini bukanlah hak peribadi yang selalu diperkatakan oleh kebanyakan orang.

Sekiranya sesorang itu tidak menutup aurat apabila keluar ke khalayak ramai yang bukan mahram, maka ianya adalah ternag-terangan melanggar perintah Allah SWT. Maka hukuman Allah adalah yang setimpal kepada orang-orang yang mematuhi atau melanggar perintahnya.

Kewajipan kita sesama Islam adalah menyampaikan apa yang diperintah oleh Allah SWT.

Seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Gaasyiyah; 21. oleh itu berikanlah sahaja peringatan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; 22. bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka 23. akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar, - 24. maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.
25. Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka,

Oleh yang demikian, kita laksanakan tanggungjawab kita sebagaimana yang diperintahkan. Jangan sampai bergaduh atau bertelagah dalam mempertahankan hujah masing-masing.

Wallahu'alam.

BINCANG : Ilmu Agama?

Assalamu'alikum wr wb,

Persoalan ini amat menarik, namun percayalah. Seandainya semua sistem komputer diseluruh dunia digabungkan, masih tidak dapat menampung perbincangan yang hendak kita lakukan. Sealau dibandingkan mengenai ilmu itu seperti lautan yang luas, sedangkan apayang dipelajari oleh manusia adalah seperti mencelupkan hujung jari ke dalamnya. Secebis dari apa yang dapat saya sumbangkan dalam muzakarah ini:-

Friman Allah SWT Al-Israa': 85. dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".

Jadi umumnya kita sebagai insan yang dicipta oleh Allah SWT tidak seharus berbangga dengan sedikit ilmu yang kita pinjam. Sebaik-baiknya kita kongsi bersama apa yang kita tahu.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Alaq: 01. bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk); 02. ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; 03. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - 04. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, - 05. ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.

Pentingnya ilmu; sehinggkan ayat paling awal yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah suruhan membaca – bukan solat, puasa dan pelbagai ibadah lain. Kenapa ilmu? Sebab amal tanpa ilmu adalah seumpama orang gila yang tidak tahu kenapa sesuatu itu dilakukan.
Ilmu juga menjdikan sesuatu ibadat itu dapat dilakukan dengan sempurna.

Ilmu bukan sekadar pengetahuan. Asal istilah dari bahasa Arab yang tidak ada terjemahan dalam bahasa Melayu (sebab bahasa melayu pun pinjam dari bahasa Arab – ILMU). Terjemahan yang paling dekat adalah istilah SAINS, asal perkataan Inggeris SCEINCE, boleh diguna pakai, namun istilah sains tidak mempunyai dan selalunya mengenepikan nilai-nilai kerohanian.

Selalunya bila kita bincang bab ilmu yang berbagai cabang termasuklah Ilmu Kalam, Ilmu Laduni dan sebagainya; kita lebih menjurus kepada Islam. Kenapa Islam?

Dan Firman Allah SWT; Al-Maaidah:3. ...Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha
Islam itu menjadi ugama untuk kamu....

Kata kunci dalam ayat ini jika boleh diambil adalah SEMPURNA, CUKUP dan REDHA.

Segala apa yang telah Allah SWT turunkan kepada manusia dalam semua segi baik kehidupan, hukum dan undang-undang, munakahat, muamalat, musyarakat, jinayat dan lain-lain telah sempurna. Sudah menjadi lumrah kejadian manusia tidak berapa cenderung untuk mencari
kesempurnaan, tetapi apa yang disebaliknya adalah lebih diminati.

Allah telah mencukupkan nikmat Nya kepada manusia. Apa saja nikmat telah ada, yang perlu hanya dicari, dan dalam pencarian nikmat itulah manusia sering tersasar.

Ugama atau agama Islam atau Ad-Dinul Islam bukan sekadar anutan. Ianya adalah bersifat syumul (menyeluruh/lengkap) dan juga suatu cara hidup.

Firman Allah SWT Ali-Imran:19. Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.

Jadi kita yang mengaku beriman kepada Allah dan segala yang dirukunkan, tidak perlulah kepada Ad-Din yang lain. Moga akhir kehidupan kita mendapat mardhiah dari Allah SWT.

Firman Allah SWT Al-Fajr: 27. (setelah menerangkan akibat orang-orang Yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan Bahawa orang-orang Yang beriman dan beramal soleh akan disambut Dengan kata-kata): "Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - 28. "Kembalilah kepada Tuhanmu
Dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! - 29. "Serta masuklah Engkau Dalam kumpulan hamba-hambaKu Yang berbahagia - 30. "Dan masuklah ke Dalam SyurgaKu! "

Percayalah, tanpa ilmu yang dipelajari dan dihayati dengan sempurna maka, makam mardhiah yang kita citakan itu amat sukar dicapai.

Hadanallah waiyakum ajma'in, wallahu'alam.

Puasa sunat dan puasa ganti

Re: [sim] MOHON PENCERAHAN : Puasa sunat dan puasa ganti

Salam,

Sedikit pendapat dari saya yang saya garap dari beberapa pengajian.

Puasa ganti itu wajib, tiada kompromi. Dalam setahun ada hari-hari tertentu yang disunatkan kita berpuasa. Sunatnya kerana ia adalah amalan para Nabi atau disuruh oleh Nabi SAW.

Masalah kita masyarakat Melayu terlampau mengambil berat tentang lafaz niat. Sememangnya tunjang ibadat itu niat seperti mafhum Sabda Nabi SAW; "Sesungguhnya setiap suatu amal itu bermula dengan niat"

Persoalan samada boleh kah kedua-duanya dibuat serentak? Pendapat saya, boleh. Caranya, Niatkan puasa ganti dan dibuat pada hari-hari yang disunatkan. Tak payahlah dicampur adukkan niat tu sampai berbelit-belit. Cuma niat puasa ganti sahaja.

Dengan yang demikian, puasa dapat diganti dan pahala sunat pun dapat sebab dibuat pada hari yang disunatkan berbuat demikian.

Sekian, hadanallah waiyakum ajmain, wallahu'alam, wassalam

Pertolongan Suami, Penghargaan Buat Isteri

Re: [sim] ARTIKEL : Pertolongan Suami, Penghargaan Buat Isteri

Salam semua,

Saya adalah seorang suami kepada seorang isteri. Tanggung jawab saya antara lain terhadap isteri dan keluarga saya adalah; menyediakan tempat tinggal, menydiakan makan-minum dan menyediakan pakaian; dan pelbagai tanggun jawab lain.

Isteri saya tidak bertanggung jawab untuk menyediakan makan-minum saya, atau pakaian, atau mengemas rumah saya. Kalau dia tidak melakukan itu semua, dia tidak nusyuz. Kalau dia melakukan; ganjaran pahalanya amat besar dari Allah SWT. Berbanding dari apa yang dia akan dapat dari saya.

Wahai para suami, saya meneru kepada diri saya dan anda semua rendahkanlah ego anda dengan melaksanakan tanggung jawab kita semua dengan tidak menganggap bahawa kerja-kerja rumah adalah tanggung jawab isteri. Kalau nak diberikan sebagai tugas maka kenalah diberikan upah yang setimpal. Janganlah diterbalikkan pinggan mangkok kalau isteri masak tak sedap.

Sekian, wallahu'alam.

Bola sepak dan FAM

Re: [sim] BINCANG : Bola sepak dan FAM

Sepatutnya bukan pemain import yang patut ditiadakan, tetapi orang-orang politik macam Khairy, Raja Ahmad dll. Mana ada pasukan lain di dunia baik kelab atau negara dimana pengurusnya orang politik. Di Malaysia ni orang politik mencari populariti dengan memainkan peranan aktif dalam persatuan-persatuan Negeri dan negara. Kenapa tidak pada peringkat kelab dan sekolah? Jadi, hapuskan pengaruh politik dalam bolasepak.

Mengajar Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris

Re: [sim] DARI BLOG : Mengajar Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris

Assalamu'alaikum wr wb,

Apakah bahasa boleh menghalang kemajuan sesuatu bangsa, kaum atau sebuah negara. Jika dikaji sejarah ketamadunan manusia, yang dicertakan dalam buku-buku tawarikh adalah Tamadun China, Tamadun Yunani/Greek dan Tamadun Indus; mungkin sedikit mengenai Tamadun Babylon/Mesopotamia. Tetapi tidak pernah diceritakan mengenai Tamadun Inggeris, sebab Inggeris banyak belajar dari Tamadun luar.

Rasulullah SAW juga ada bersabada yang mafhumnya: "Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China." Apakah Nabi SAW pernah sampai ke Negeri China?

Hari Jumaat yang lalu, tanggal 08.08.08; dunia dikejutkan dengan acara pembukaan sukan Olimpik yang amat mengagumkan. Semua itu tidak dipelajari dari barat. Perlu diingat bahawa orang Chinalah yang mula-mula menggunakan bunga api (gun powder) yang diubahsuai menjadi
pyrotech.

Jadi secara logiknya, kalau betul-betul hendak maju, pelajari bahasa China (mandarin dan seumpamanya), bukan bergaduh dengan bangsanya.

Yang paling utama, kita hayati firman Allah SWT dalam wahyu yang pertama; "1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, 2. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. 3. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, 4. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran Qalam. 5. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."

Maksudnya, kita selalu gagal untuk belajar. Tanpa mengira bahasa pengantar, kita difardhukan untuk belajar. Oleh itu jangan disalahkan bahasa jika kita gagal untuk memajukan diri sendiri. Dan kegagalan sesuatau kaum, bangsa atau negara bukanlah disebabkan oleh bahasa.

Sekian. Hadanallah waiyakum ajmain. wallahu'alam.

Wassalam

BiNCANG: 'Mr Mama' jatuhkan maruah lelaki?

Jatuh kah maruah lelaki jadi Mr. Mama? Maruah jatuh kalau tak penuhi tanggungjawab seorang suami. (dulu kan pergi kursus sebelum berumahtangga. Jadi dah tahulah tanggungjawab masing-masing) Kalau isteri dah tahu nak hormat kat suami, itu salah suami sebab tak beri pendidikan Islam yang secukupnya. Jangan asyik nak jadi tuan saje.

Isy... bunyi macam ketuanan melayu lah pulak kah kah kah.

BINCANG : Disiplin pelajar sekolah

Assalamu'alaikum wr wb.

"Ajarlah anak-anakmu, bukan dalam keadaan yang serupa denganmu. Didiklah dan persiapkan lah anak-anakmu untuk suatu zaman yang bukan zamanmu. Mereka akan hidup pada suatu zaman yang bukan zamanmu." - (Ali bin Abi Thalib RA)

"Anak-anak adalah milik zamannya, maka didiklah anak-anakmu sesuai zamannya!"(Ahli Hikmah)

Kita selalu membandingkan pendidikan yang kita terima dengan cara pendidikan zaman sekarang. Selalu kita bervicara bersama-sama sahabat bagaimana kita didisiplinkan oleh guru-guru masing suatu ketika dahulu. Siapa yang tidak pernah nakal semasa kecil?

Suatu ketika dahulu pendidik atau guru mempunyai satu tahap yang dipandang tinggi dikalangan masyarakat. Kenapa agaknya profession guru sekarang ini tidak lagi mendapat penghormatan seperti itu?

Masyarakat sekarang ini telah banyak berubah. Anak-anak disayangi dengan amat melampau oleh ibu bapa masing-masing. Guru-guru yang mendenda anak-anak bakal menghadapi masalah yang bukan sedikit dari ibu bapa anak-anak tersebut, serta mnghadapi tindakan tatatertib dari
pihak atasan. Menjadi guru bukan tiket untuk bertindak ganas terhadap anak-anak murid atau pelajar. Mereka diberi amanah untuk mendidik, oleh yang demikian, sebagai ibua bapa kita perlu memberi ruang kepada guru-guru untuk melaksanakan tanggung jawab mereka. Memanjakan
anak-anak bakal merosakkan mereka.

Disiplin amat penting dalam kehidupan. Malah dalam semua ibadah disiplin atau "tertib" menjadi rukun bagi kesempurnaan e.g. Solat tanpa tertib adalah batal dan tidak sah, dan sebagainya. Oleh yang demikian kita perlu menjadikan disiplin sebagai asas dalam setiap amal
perbuatan kita.

Tanggung jawab masih menjadi hak mutlak bapa sepertimana Firman Allah SWT;

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu
mengerjakan apa yang diperintahkan." – At-Tahrim: 6.

Bagaimanapun perlaksanaan mendisiplinkan anak-anak adalah terserah kepada pelbagai pihak. Lebih tepat lagi kita bahagikan kepada beberapa institusi; kekeluargaan, kejiranan, institusi pendidikan, pertubuhan dan pemerintah/kerajaan. Setiap satu institusi mempunyai cara
masing-masing dalam melaksanakan cara untuk mendisiplinkan anak-anak. Jika satu pihak gagal melaksanakan tugasan maka akan terdapat kepincangan.

Oleh yang demikian jika seseorang anak itu kurang berdisiplin, maka tidak adil menuding jari kepada satu-satu pihak. Jika itu berlaku, maka berbalik kita kepada orang yang memegang tanggung jawab tadi iaitu si bapa. Beliau sepatutnya membuat perancangan bagaimanakah cara yang terbaik untuk mendisiplinkan anak-anak.

Firman Allah SWT:

"...dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit." - Al-Israa': 85.

Perbincangan untuk ini amat luas. Oleh itu kita kongsilah pendapat bersama-sama.

Wallahu'alam, hadanallahu waiyakum ajma'in.

Wassalamu'alaikum.

Kenapa Anjing Dan Babi Haram ? Betul ke?

Katakanlah: "Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi - karena sesungguhnya semua itu kotor - atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - (AlAn'am: 145)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Apabila anjing menjilat dalam bejana kamu, maka cucilah dia tujuh kali, salah satu di antaranya dengan tanah. " (Riwayat Bukhari)

Anjing pada kebiasaanya akan menjilat bulu ditubuhnya. Seandainya tersentuh dalam keadaan basah maka perlu di sertu/samak seperti yang disyara'kan.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Andaikata anjing-anjing itu bukan umat seperti umat-umat yang lain, niscaya saya perintahkan untuk dibunuh." (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

"Tidak ada satupun binatang di bumi dan burung yang terbang dengan dua sayapnya, melainkan suatu umat seperti kamu juga." (al-An'am: 38)

Rasulullah pernah juga mengkisahkan kepada para sahabatnya tentang seorang laki-laki yang menjumpai anjing di padang pasir, anjing itu menyalak-nyalak sambil makan debu karena kehausan. Lantas orang laki-laki tersebut menuju sebuah sumur dan melepas sepatunya kemudian dipenuhi air, lantas minumlah anjing tersebut dengan puas. Setelah itu Nabi bersabda:

"Karena itu Allah berterimakasih kepada orang yang memberi pertolongan itu serta mengampuni dosanya." (Riwayat Bukhari)

Kalau kita memberi dalil kepada orang bukan muslim mengikut keterangan AlQuran dan Hadist mungkin agak janggal. Katakan sahaja. Allah dan Nabi mengatakan ianya kotor. Jadi kita sebagai umat yang ta'at kepada perintah Allah dan Rasulnya akan dengar tanpa banyak so'al.

Sekian, wallahu'alam.

Re: [sim] BINCANG : Ajaran Sesat Kahar

Salam 'alaik,

Kita banyak terdengar mengenai ajaran-ajaran sesat dari pelbagai agama. Persoalannya sudah kita mengenal ajaran yang lurus. 17 kali dalam solat sehari semalam, kita minta tunjukkan jalan yang lurus. Apa itu ajaran sesat? Ajaran sesat adalah selain dari yang diajarkan oleh kitab-kitab
Allah. Semua agama besar didunia mempunyai kitab yang dibawa oleh nabi-nabi dan para rasul.

Usah kita perkatakan mengenai agama lain. Kita tahu dan akui bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi yang terakhir. Ada orang yang bijak dalam memainkan kata-kata memberikan pendapat bahawa betul Nabi SAW adalah nabi terakhir, tetapi bukan rasul yang terakhir.

Nak jawab mudah saja; semua rasul mesti mestilah nabi, tetapi seorang nabi tidak semestinya seorang rasul. Oleh itu, orang yang mengaku dirinya rasul itu sendiri tidak tahu makna rasul, bagaimana nak jadi rasul. Patutlah dia perasan saja.

Allah SWT dah mengakui bahawa hanya Islam sahaja agama di sisi Nya. Oleh itu, hanya ajaran dari Al-Quran dan contoh dari sunnah Nabi Muhammad SAW sahaja yang diterima sebagai hukum. Maka segala ajaran selain dari itu adalah tertolak.

Jikapun seseorang mempunyai kebolehan luar biasa itu adalah kurnian dari Allah. Jangan disamakan taraf mukjizat, karamah, ma'unah, irhas dan sihir. Sihir boleh dipelajari dan akan membawa kepada kesesatan.

Orang-orang yang mempunyai karamah, ma'unah dan irhas pula adalah terpilih atas amalan soleh yang dilakukan. memilikinya tidak mengangkatnya sebagai nabi atau rasul. Sekiranya orang tersebut memberi fatwa yang kelihatan bercanggah dengan sayriah Islam maka tidak boleh diikuti.

Yang pentingnya jika hendak mendalami Ilmu agama, carilah guru yang mursyid. Seorang wali tidak akan mengatakan dirinya wali, walaupun dianggap wali oleh anak-anak muridnya. Dan nak mencari wali pada zaman sekarang ini adalah umpama mencari permata di dalam sebekas kaca.

Wallahu'alam, hadanallah waiyakum ajma'in, wassalamu'alaikum wr wb

Thursday, September 4, 2008

Zakat Ftrah

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra. ia berkata : Rasulullah saw telah memfardhukan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan dari perkataan keji dan untuk memberi makan orang miskin. Barang siapa yang mengeluarkannya sebelum solat, maka ia berarti zakat yang di terima dan barang siapa yang mengeluarkannya sesudah solat ‘Eidul Fitri, maka itu berarti sedekah seperti sedekah biasa (bukan zakat fitrah). - (H.R : Abu Daud, Ibnu Majah dan Daaruquthni)

“Zakat Fitrah” ialah zakat diri yang diwajibkan atas diri setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Kata Fitrah yang ada merujuk kepada keadaan manusia semasa saat baru diciptakan sehingga dengan mengeluarkan zakat ini manusia dengan izin Allah akan kembali kepada fitrah.

Pada prinsipnya seperti definisi di atas, setiap muslim diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya , keluarganya dan orang lain yang menjadi tanggungannya baik orang dewasa, anak kecil, laki-laki maupun wanita. Syarat yang menyebabkan individu wajib membayar zakat fitrah adalah:

1. Individu yang mempunyai kelebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan tetap dalam Islamnya.
4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Pada asalnya zakat Fitrah adalah dibayar dengan menggunakan makanan ruji (jika di Malaysia berupakan beras). Zaman dahulu sememangnya beras diberikan terus kepada penerima-penerima zakat dari 8 golongan asnaf.

Para ulama’ bersepakat bahawa Zakat Fitrah boleh dibayar dalam bentuk wang tunai bagi menggantikan beras. Kini masyarakat muslim umumnya membayar zakat fitrah dalam bentuk wang tunai kepada amil-amil yang dilantik oleh badan-badan yang berwajib.

Umat Islam berada di seluruh pelusok dunia. Justeru, Zakat Fitrah boleh dibayar di mana-mana mengikut kepada kesesuaian dan keinginan kepada pembayarnya. Jika suami berada di Jepun, sementara keluarga berada di Malaysia, sisuami boleh membayar zakat di Jepun, memandangkan di sana juga ada asnaf-asnaf yang berkelayakan, yang mungkin lebih afdhal. Tidak bermakna jika Zakat Fitrah dibayar di Jepun, maka ianya tidak sah. Jika si suami handak mewakillkan kepada siisteri untuk membayar di Malaysia, boleh juga berbuat demikian. Cuma kurang eloklah sebab dia masih lagi boleh membuat pembayaran terus untuk dirinya dan keluarga. Lainlah kalau dia uzur syari’e. E.g. sakit tenat, lumpuh, meninggal dunia dan sebagainya.

Yang paling penting konsep Zakat Fitrah itu dapat disempurnakan. Jika Zakat Fitrah tidak dijelaskan mengikut kadar dan waktu yang telah ditetapkan, maka ibadah puasa yang dikerjakan tidak sempurna dan tidak dapat diangkat ke hadrat Allah SWT. Menjadi sia-sia sahajalah ibadah puasa kita.

'yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. – Ali Imran: 191.

Wallahu’alam, hadanallah waiyakum ajma’in. Wassalamu’alaikum wr wb